Melakar ruangan ini dengan pautan ilmu

Perkahwinan Jarak Jauh (◑‿◐)


PJJ?? Mula2 ramai yg tertanya Pendidikan Jarak Jauh ke? Inilah yg dialami oleh saya Perkahwinan Jarak Jauh dan mungkin sebahagian pasangan yang lain..saya guru dan suami tentera..disini saya ingin berkongsi artikel tentang PJJ ni oleh Ust Hasrizal Abdul Jamil yang mungkin boleh memberi semangat dan aspirasi kepada pasangan suami isteri seperti kami supaya berusaha untuk duduk bersama...semoga Allah permudahkan segala urusan kita di dunia dan juga di akhirat..



RENUNGAN

Perkahwinan jarak jauh jarang berlaku atas kehendak pasangan yang berumahtangga. Lazimnya ia berpunca daripada komitmen kepada kerja seperti doktor, jurutera carigali, guru malah mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan, ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Kita perlu ingat, manusia dikurniakan oleh Allah kemampuan untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran hatta dalam situasi yang paling sukar. Justeru, kemampuan seorang suami dan isteri menyesuaikan diri dengan jarak yang memisahkan mereka, tidak harus menjadi satu-satunya penentu kepada baik atau tidaknya PJJ itu.

Perkahwinan ada tujuan.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’aala:

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir” [al-Room 30: 21]

Rumahtangga adalah tempat manusia mengecap damai. Sakinah dikurniakan Allah apabila seorang suami berada di sisi isteri, dan demikian juga sebaliknya. Inilah faktor terbesar mengapa di zaman Umar al-Khattab radhiyallahu ‘anhu, beliau membuat polisi tidak membenarkan tentera keluar berperang meninggalkan isterinya lebih daripada empat bulan, atau enam menurut pendapat lain.

Suatu malam, Umar mendengar seorang wanita menyanyikan sebuah syair yang menimbulkan rasa takut yang luar biasa kepada Amir al-Mu’minin:

Malam ini terasa panjang,

Aku dibalut kegelapannya,

Mataku enggan lena,

Tiada teman untuk bersenda,

Demi Allah, jika tidak kerana takutku kepada-Nya,

Bergoncanglah katil ini dari sisi ke sisi!

Umar memanggil wanita itu dan bertanyakan perihal dirinya. Beliau menceritakan keadaan dirinya yang ditinggalkan suami atas misi ketenteraan untuk satu tempoh yang panjang. Mendengar akan hal itu, Umar bertanya kepada anak beliau, Hafsah radhiyallahu ‘anha, yang ketika itu adalah balu kepada Baginda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Soal beliau “berapakah tempoh seorang wanita mampu berpisah dengan suaminya?

Hafsah menjawab, “empat bulan!”

Lalu Umar menetapkan polisi agar tenteranya tidak pergi menyertai misi ketenteraan lebih daripada empat bulan.

Seorang suami yang meninggalkan isteri kerana kekangan kerja, harus untuk meninggalkannya lebih daripada tempoh itu jika isteri memberi restu. Hak yang terbabit adalah hak isteri untuk digauli oleh suaminya. Namun apakah kita secara mudah mengambil pilihan yang paling berisiko itu? Apakah harga yang mampu dibayar atas kehilangan masa-masa yang berharga, tambahan pula jika anak-anak turut terbabit sama.

Isteri mempunyai hak ke atas suami.

Suami mempunyai hak ke atas isteri.

Anak-anak, mudah-mudahan dikurniakan rezeki beroleh anak, juga ada hak ke atas ibu dan bapa.

Kesempurnaan fizikal, mental, emosional, spiritual, memerlukan didikan dengan kombinasi ayah dan ibu. Andai berpisah nyawa, atau talaq sudah membataskannya, tiadalah banyak yang boleh dikata. Namun dengan sengaja membiarkan jarak memisahkan suami dan isteri ketika pilihan yang lebih baik itu ada, falaa yalumanna illa nafsah, yakni janganlah disalahkan sesiapa kecuali dirinya sendiri!

Berusahalah untuk segera kembali bersama.

Di satu sudut yang unik di Malaysia, jururawat yang mahu bekerja di negara Arab, mesti berbincang dengan baik bersama suami. Tempoh kerja mestilah mematuhi perjanjian yang disepakati. Jangan sewenang-wenangnya membiarkan suami di tanah air. Jangan biarkan dirimu selesa dengan perpisahan itu.

Antara keelokan Islam, ia bukan sahaja memuliakan pernikahan, malah tegas menutup pintu-pintu fitnah dan kemusnahan.

Berusahalah!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com

68000 AMPANG

© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2010) Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu. "Erti Hidup Pada Memberi" ABU SAIF @ www.saifulislam.com 68000 Ampang, Selangor


sumber : http://saifulislam.com/?p=7945

0 ulasan:

Post a Comment