Melakar ruangan ini dengan pautan ilmu

Peranan guru Pendidikan Islam di sekolah



Apabila menyebut sahaja soal dakwah maka ia merupakan bicara tanggungjawab terhadap umat Muhammad ke arah mengembangkan Islam. Sebagai seorang guru, nyata ia bukan merupakan perkara enteng yang dikesampingkan, lebih-lebih lagi bagi seorang guru Pendidikan Islam.

Umum mengetahui tugas seorang guru Pendidikan Islam memang menyampaikan ilmu terus kepada anak muridnya. Menghapuskan kejahilan, memperkukuh amalan, menerapkan nilai-nilai murni, mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Tidakkah ia sudah dikira sebagai dakwah dan ibadah? Begitulah bertuahnya guru Pendidikan Islam yang sudah tersedia jalan menuju redha Allah di samping menjalankan tugas sebagai pendidik. Sudah tersedia jalan dan ruang berdakwah yang nyata berjalan seiring dengan tugas hakiki mendidik anak bangsa. Selain itu mereka merupakan pakar rujuk terutama dalam selok-belok agama bagi warga guru dan kakitangan sekolah. Inilah peluang-peluang yang dilihat seharusnya dimanfaatkan oleh guru Pendidikan Islam dalam meneruskan kesinambungan misi dakwah junjungan besar Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam.

Allah telah menceritakan kepada kita bahawa umat Muhammad sallallahu alaihi wasallam adalah umat yang terbaik yang diutuskan untuk mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran sepertimana dinyatakan dalam surah Ali Imran ayat 110:

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah daripada yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.”

Di manakah ruangnya?

Ada yang bertanya di manakah ruangnya guru Pendidikan Islam ini berdakwah ketika berada di sekolah? Mereka adalah pakar rujuk yang diakui kredibiliti dari sudut ilmu dan kepakaran dalam bidang agama. Maka di sinilah mereka harus menggunakan kemampuan ilmu yang ada untuk menjernihkan kekeliruan apabila diajukan tentang persoalan berkait dengan akidah, syariah, hukum-hakam serta akhlak. Itulah ruangnya untuk mengemukakan panduan dan jawapan berdasarkan dalil-dalil al-Quran dan sunnah. Tidak salah untuk kita mengatakan guru Pendidikan Islam ini sebagai pakar rujuk kepada guru-guru, kakitangan pentadbiran serta murid-murid. Memang begitulah hakikatnya berdasarkan pengalaman penulis yang sentiasa diajukan permasalahan agama daripada rakan-rakan guru yang inginkan kepastian. Cabaran kepada pendakwah di sekolah ini ialah usaha untuk memastikan ilmu sentiasa cukup di dada bagi memberikan jawapan kepada permasalahan tersebut.

Selain itu, gerak laku Guru Pendidikan Islam sentiasa menjadi perhatian warga sekolah ataupun murid-murid. Maka di sinilah peranan mereka untuk cuba menonjolkan akhlak Rasulullah sallallahu alaihi wasallam baik dari sudut percakapan, pakaian, pergaulan malah gaya berjalan pun sentiasa menjadi buah mulut orang. Inilah yang dikatakan sebagai dakwah dengan contoh teladan. Umum memang mengetahui andai ustaz dan ustazah ini berperilaku dengan akhlak yang sopan, baik tingkah laku, mudah didekati, tidak mustahillah mereka akan sentiasa menjadi guru yang cukup dihormati rakan dan lawan. Kehadiran mereka ke kelas pasti dinanti oleh murid, malah terleka lima minit datang kelas pun akan diingatkan oleh murid-murid . Bukankan menjadi pendakwah ini juga memerlukan kemahiran agar kita dapat menarik minat dan mempengaruhi orang lain? Seandainya anda mempunyai perwatakan seindah Rasulullah sallallahu alaihi wasallam pasti anak murid menjadikan anda contoh dan teladan untuk diikuti. Bahkan gaya rambut, pakaian serta cara bercakap pun akan ditiru oleh mereka.

Guru Pendidikan Islam boleh mencegah kemungkaran? Anda tidak perlu menunggu untuk dilantik sebagai Pegawai Penguatkuasa baru mencegah kemungkaran. Sebagai Guru Pendidikan Islam, anda mempunyai tanggungjawab yang amat berat untuk membetulkan segala kesilapan. Menegur untuk membetulkan keadaan tidak salah, asalkan kena dengan caranya. Itulah sebabnya Allah berfirman dalam surah an-Nahl ayat 125 yang bermaksud:

“Serulah (manusia) ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat daripada jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.”

Kalaulah Guru Pendidikan Islam hanya mengajar hukum-hakam agama tetapi tidak mencegah kemungkaran yang berlaku di sekolah adakah mereka ini sudah menjalankan tugas dan amanah yang diberi? Memberi nasihat, menegur salah laku murid, menjadi orang tengah untuk menyelesaikan konflik rakan sekerja, meleraikan pergaduhan antara murid, itu semua tugas seorang pendakwah di sekolah. Namun segalanya harus dilakukan dengan penuh hikmah agar tiada seorang pun yang terguris hati dan perasaannya. Hikmah dalam menegur dan menasihati serta bijaksana dalam berhujah akan menjadikan guru Pendidikan Islam ini sebagai insan yang dihormati oleh semua warga sekolah.

Bagaimana caranya?

Jika anda merupakan guru Pendidikan Islam yang sudah agak senior dan dihormati, anda merupakan orang yang tepat untuk melaksanakan sesi tazkirah dan ceramah kepada warga pendidik dan murid-murid. Gunakanlah peluang yang diberikan sebagai pendakwah ini dalam perhimpunan, majis-majlis rasmi atau di mana-mana dan ketika yang dirasakan perlu.

Bagi guru Pendidikan Islam yang masih muda terutamanya guru-guru j-QAF yang masih baru di sekolah dan sedang membina hubungan yang baik dengan warga sekolah, anda mempunyai beberapa piihan untuk berdakwah.

Pilihan pertama bagi yang mempunyai kekuatan, peluang dan daya penarik yang baik, anda boleh terus berdakwah melalui sesi tazkirah, ceramah, sesi perbualan dan lain-lain lagi secara langsung.

Namun, bagi yang belum mempunyai kekuatan dan ruang, anda boleh menjadikan ruang penulisan sebagai platform untuk berdakwah. Gunakan kaedah ini dengan menulis artikel dakwah di suratkhabar, buletin panitia serta di mana-mana ruang penulisan yang ada. Topik penulisan berkisar tentang peranan dan tugas guru, kepimpinan, amanah dan lain-lain lagi. Ini merupakan kaedah dakwah secara tidak langsung tetapi berkesan menembusi dan menyentuh hati . Ia juga sedikit demi sedikit membina kredibiliti dan keyakinan kepada pendakwah muda untuk memulakan rentak dakwah. Di sekolah, wujudkan buletin Panitia Agama dan j-QAF untuk menerapkan artikel dan nasihat ringkas serta hadis dengan kata-kata hukama’ buat renungan warga sekolah. Jangan lupa untuk memuatkan ruangan uji minda dan sediakan hadiah kepada pemenang. Ia merupakan strategi supaya pembaca (sasaran dakwah) akan setia dan tertunggu-tunggu siri-siri buletin dakwah yang akan datang.

Berdasarkan pengalaman penulis, anak-anak di sekolah sukakan aktiviti kesenian. Lihat sahaja andai diadakan pertandingan nasyid ketika perayaan Awal Muharam contohnya, pasti mereka sanggup berlatih dan bernasyid dengan bersungguh-sungguh. Di sinilah peluang Guru Pendidikan Islam untuk berdakwah. Rangkalah pendekatan dakwah yang menerapkan unsur kesenian dan aktiviti yang menarik yang bersesuaian dengan jiwa kanak-kanak dan remaja.

Tidak salah untuk menukar dan meniru format rancangan kesukaan remaja seperti Explorace, Cari Menantu, Akademi al-Quran kepada yang relevan dalam konteks kita di sekolah. Akademi Nasyid boleh ditubuhkan di sekolah dalam usaha pencarian bakat pelajar dalam bidang nasyid. Rancangan Akademi al-Quran juga boleh diadakan di sekolah dalam mencari bakat qari dan qariah muda di samping peluang untuk menerapkan ilmu taranum buat persediaan menghadapi Majlis Tilawah al-Quran (MTQ). Penjenamaan semula aktiviti Islam dengan menamakan program tersebut seperti ‘Karnival Jom Cintai Rasul’, ‘Kempen Smart Salam’, ‘Mencari Cinta Rasul’, ‘Kem Bestari Solat’, ‘Perkampungan Bestari’, ‘Perkampungan Ilmu’, ‘Perkampungan Dakwah’, ‘Bersamamu Guru’ atau ‘Minggu Semarak Pendidikan Islam’ dirasakan perlu dalam memberikan nafas baru untuk menarik minat murid-murid menyertai aktiviti yang diadakan.

Kesimpulannya, ruang dakwah untuk guru Pendidikan Islam amat terbuka luas. Cuma tepuk dada tanyalah iman, sama ada anda guru Pendidikan Islam yang hanya mengajar mengikut sukatan pelajaran tahunan atau guru yang bertindak sebagai pendakwah di sekolah dengan mengajak kepada kebaikan, menghapus kejahilan dan menentang kemungkaran. Sesungguhnya tanggungjawab sebagai guru Pendidikan Islam menuntut seribu satu pengorbanan dan teladan bagi insan yang mengimpikan suatu kebahagiaan di dunia dan akhirat.


http://www.malaysiaharmoni.com

Read More......

Perkahwinan Jarak Jauh (◑‿◐)


PJJ?? Mula2 ramai yg tertanya Pendidikan Jarak Jauh ke? Inilah yg dialami oleh saya Perkahwinan Jarak Jauh dan mungkin sebahagian pasangan yang lain..saya guru dan suami tentera..disini saya ingin berkongsi artikel tentang PJJ ni oleh Ust Hasrizal Abdul Jamil yang mungkin boleh memberi semangat dan aspirasi kepada pasangan suami isteri seperti kami supaya berusaha untuk duduk bersama...semoga Allah permudahkan segala urusan kita di dunia dan juga di akhirat..



RENUNGAN

Perkahwinan jarak jauh jarang berlaku atas kehendak pasangan yang berumahtangga. Lazimnya ia berpunca daripada komitmen kepada kerja seperti doktor, jurutera carigali, guru malah mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan, ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Kita perlu ingat, manusia dikurniakan oleh Allah kemampuan untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran hatta dalam situasi yang paling sukar. Justeru, kemampuan seorang suami dan isteri menyesuaikan diri dengan jarak yang memisahkan mereka, tidak harus menjadi satu-satunya penentu kepada baik atau tidaknya PJJ itu.

Perkahwinan ada tujuan.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’aala:

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir” [al-Room 30: 21]

Rumahtangga adalah tempat manusia mengecap damai. Sakinah dikurniakan Allah apabila seorang suami berada di sisi isteri, dan demikian juga sebaliknya. Inilah faktor terbesar mengapa di zaman Umar al-Khattab radhiyallahu ‘anhu, beliau membuat polisi tidak membenarkan tentera keluar berperang meninggalkan isterinya lebih daripada empat bulan, atau enam menurut pendapat lain.

Suatu malam, Umar mendengar seorang wanita menyanyikan sebuah syair yang menimbulkan rasa takut yang luar biasa kepada Amir al-Mu’minin:

Malam ini terasa panjang,

Aku dibalut kegelapannya,

Mataku enggan lena,

Tiada teman untuk bersenda,

Demi Allah, jika tidak kerana takutku kepada-Nya,

Bergoncanglah katil ini dari sisi ke sisi!

Umar memanggil wanita itu dan bertanyakan perihal dirinya. Beliau menceritakan keadaan dirinya yang ditinggalkan suami atas misi ketenteraan untuk satu tempoh yang panjang. Mendengar akan hal itu, Umar bertanya kepada anak beliau, Hafsah radhiyallahu ‘anha, yang ketika itu adalah balu kepada Baginda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Soal beliau “berapakah tempoh seorang wanita mampu berpisah dengan suaminya?

Hafsah menjawab, “empat bulan!”

Lalu Umar menetapkan polisi agar tenteranya tidak pergi menyertai misi ketenteraan lebih daripada empat bulan.

Seorang suami yang meninggalkan isteri kerana kekangan kerja, harus untuk meninggalkannya lebih daripada tempoh itu jika isteri memberi restu. Hak yang terbabit adalah hak isteri untuk digauli oleh suaminya. Namun apakah kita secara mudah mengambil pilihan yang paling berisiko itu? Apakah harga yang mampu dibayar atas kehilangan masa-masa yang berharga, tambahan pula jika anak-anak turut terbabit sama.

Isteri mempunyai hak ke atas suami.

Suami mempunyai hak ke atas isteri.

Anak-anak, mudah-mudahan dikurniakan rezeki beroleh anak, juga ada hak ke atas ibu dan bapa.

Kesempurnaan fizikal, mental, emosional, spiritual, memerlukan didikan dengan kombinasi ayah dan ibu. Andai berpisah nyawa, atau talaq sudah membataskannya, tiadalah banyak yang boleh dikata. Namun dengan sengaja membiarkan jarak memisahkan suami dan isteri ketika pilihan yang lebih baik itu ada, falaa yalumanna illa nafsah, yakni janganlah disalahkan sesiapa kecuali dirinya sendiri!

Berusahalah untuk segera kembali bersama.

Di satu sudut yang unik di Malaysia, jururawat yang mahu bekerja di negara Arab, mesti berbincang dengan baik bersama suami. Tempoh kerja mestilah mematuhi perjanjian yang disepakati. Jangan sewenang-wenangnya membiarkan suami di tanah air. Jangan biarkan dirimu selesa dengan perpisahan itu.

Antara keelokan Islam, ia bukan sahaja memuliakan pernikahan, malah tegas menutup pintu-pintu fitnah dan kemusnahan.

Berusahalah!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com

68000 AMPANG

© SAIFULISLAM.COM (1998 – 2010) Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Saifulislam.Com dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Saifulislam.Com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin SAIFULISLAM.COM terlebih dahulu. "Erti Hidup Pada Memberi" ABU SAIF @ www.saifulislam.com 68000 Ampang, Selangor


sumber : http://saifulislam.com/?p=7945

Read More......